Banner Ebook 468X60

Monday, January 28, 2008


KURSUS CENDAWAN

Bercakap pasal kursus ni, saya teringat kisah sendiri. Dulu waktu mula2 start projek cendawan, saya tak pernah pergi mana-mana kursus. Bukan tak mahu, tapi time tu saya belum benar2 faham akan kepentingannya. Selepas melawat 2 tapak projek dan belajar sikit-sikit dari orang yang telah mulakan projek, saya dah merasa confident. Bila bahan asas dan peralatan dah ada, kami terus buat bungkah sendiri. Semuanya main agak-agak aje.

Mula-mula tu nampak macam jadi. Tapi bila bungkah dah berusia 2-3 minggu, macam2 masalah timbul terutamanya penyakit. Pastu bila dah matang, cendawan tak keluar-keluar. Kalau keluar pun terus layu dan kering. Barulah kelam kabut kami mendapatkan bantuan sifu hingga terpaksa bayar diorang supaya datang dan melawat bangsal kami. Tahap reject time tu sekitar 40%, buat 1000 yang jadiknya cuma 500 atau 600 bungkah. Sehinggakan ada satu tahap saya terpaksa memikirkan untuk teruskan atau batal saja projek ni.

Sehinggalah saya dapat ikuti kursus anjuran jabatan pertanian seremban pada April tahun lepas. Dari kursus ni, saya sedar banyak kesilapan yang telah kami lakukan. Dan yang paling penting, saya mulai faham kenapa perlu buat begini dan kenapa perlu buat begitu. Sesetengah perkara tu nampak macam tak beberapa penting, tapi rupanya impaknya besar. Contohnya ialah memadatkan bungkah.
Jadi nasihat saya kepada mereka yang ingin ceburi bidang ni, seboleh-bolehnya ikutilah kursus cendawan sebelum mulakan projek sendiri. InsyaAllah setiap ringgit yang dilaburkan pasti akan berbaloi.

Berita baik untuk anda yang berada di sekitar Perak, kawan saya Azhari ( ecendawan ) bakal menganjurkan kursus intensif cendawan. Kursus ni akan diadakan di Kuala Kangsar, Perak. Saya pasti, pengetahuan dan pengalaman beliau pasti boleh membantu anda merealisasikan projek sendiri.

Selain itu, terdapat juga rakan2 yang lain yang turut anjurkan kursus seperti Fatisha ( Fatisha Agro Farm ), Zul ( cendawan puchong ) dan Wan ( projek cendawn ). Anda boleh dapatkan maklumat lanjut mengenai kursus mereka melalui link di sebelah.

Mengenai kursus Chini Agro, kursus berikutnya adalah seperti berikut;
Tarikh : 23 dan 24 Februari
Harga : Pakej A ( 1 hari, RM 180 ) dan Pakej B ( 2 hari, RM 250 )
Tempat : Chini Agro Enterprise, Felda Chini Timur 3, Pekan , Pahang
Dapatkan maklumat lanjut mengenai cara pendaftaran dan sebagainya pada ruangan di sebelah kanan blog ini. Daftar segera kerana saya hanya akan mengambil 15 orang peserta sahaja.
Sekian.

Sunday, January 27, 2008

MACAM-MACAM ADA

Kursus intensif cendawan ke-3

Alhamdulillah, dengan izinNya kursus ke-3 anjuran Chini Agro selamat diadakan dengan jayanya. Seramai 7 peserta telah mendaftar, tapi hanya 3 sahaja yang dapat hadir. Terima kasih kepada En Azam dari Kuantan, En Azmi dari Cheneh Terengganu dan En Saiyed dari Chini kerana memilih kami untuk menimba ilmu mengenai cendawan.

Kursus kali ni cuma sehari. Walaupun begitu, isi kandungannya lebih kurang sama dengan kursus 2 hari cuma ianya lebih padat dan tempoh praktikal untuk setiap proses tu kurang sedikit. Namun peserta kali ni agak bertuah sebab mereka cuma bertiga. Jadi mereka mempunyai lebih banyak ruang untuk melakukan banyak perkara. Saya juga mempunyai banyak peluang untuk mengenali mereka dengan lebih baik lagi.

Saya dapati semakin ramai golongan belia yang ingin atau telah menceburi bidang pertanian. Contohnya seperti saudara Azmi ni, selain berminat dalam bidang cendawan ni, beliau juga sedang mengusahakan projek penanaman serai seluas satu ekar. Menurutnya, projek serai tu diusahakan oleh keluarganya. Mengenai pasaran pula, tidak perlu bimbang apa-apa kerana ada syarikat yang bakal mengambil hasil mereka untuk dipasarkan. Saya rasa macam pernah dengar berita di TV mengenai projek serai wangi di Terengganu di mana hasilnya akan dieksport ke Jerman. Kalau tak silap, serai ini akan diproses sebagai bahan perapi diri. Macam-macam peluang utk menambah pendapatan sekarang ni, pelihara cacing pun boleh jadi kaya. Semuanya bergantung kepada usaha masing2..

Peserta kali juga agak bertuah kerana kebetulan hasil kali ni agak banyak. Selain berpeluang merasai pengalaman memetik, membuang akar dan membungkus, mereka juga dapat membawa pulang cendawan segar 1 pek seorang. Inilah sebahagian gambar kursus kali ni..



Saya ingin ucapkan ribuan terima kasih buat rakan-rakan yang sudi mengiklankan kursus saya. Terima kasih juga buat Mentah Resources kerana kesudian mereka untuk menaja Starter Kit yang mengandungi bahan-bahan asas untuk membuat bungkah dalam kuantiti kecil. Terima kasih daun keladi! Nanti saya nak mintak tolong lagi, hehe...




Penapis buai

Dulu saya ada buatkan satu alat penapis untuk menapis habuk kayu. Saya buat bentuknya lebih kurang sama dengan penapis pasir yang sering digunakan dalam kerja-kerja melibatkan konkrit. Kedudukannya condong sikit, lepas tu ada kaki yang menyokongnya.

Tapi bila saya pulang ke kampung kali ni, saya dapati bentuknya dah berubah! Dah jadi macam buaian. Empat-empat penjuru ada tali yang digantung dari atas.



Nak gunakannya senang aje. Letak aje habuk atas net, pastu ayunkan buai tu ke depan ke belakng. Habuk pun jatuh kebawah. Memang cepat dan praktikal berbanding kaedah lama. Tenaga pun tak banyak guna. Rupa-rupanya ayah dapat idea ni setelah melihat Astro aritu. Saya tak taula rancangan apa, tapi ada Mila AF5 bekerja kat satu perusahaan cendawan di Sepang. Dalam tu ada ditunjukkan cara mereka yang guna penapis buaian tu dan ayah tertarik dengan idea mereka tu.


Masalah penyakit


Walau dah setahun beroperasi, kami masih belum lepas dari masalah penyakit. Baru-baru kami terpaksa buang lebih dari 200 bungkah akibat masalah penyakit. Saya namakan penyakit ni penyakit 'kulat janggut' sebab ada kulat hitam yang bergantungan kat mulut bungkah, macam janggut orang. Kulat ni ni kalau diusik akan menjadi berdebu dan hinggap pula ke bungkah berdekatan.
Bila kena penyakit ni, bahagian atas iaitu bahagian berdekatan dengan mulut akan menjadi hitam sikit demi sedikit. Saya dah cuba merawatnya dengan kaedah biasa, tapi hanya 20% yang boleh diselamatkan. Jadi cara yang paling senang ialah, BUANG SAJA.

Habis 'rongak' rak cendawan kami dibuatnya.

Saya pernah jumpa masalah ni sebelum ni, tapi cuma dalam kuantiti yang kecil. Tiada langkah khas diambil, cuma saya membunuhnya dengan gunakan api dari lighter. Tapi ada juga yang terlepas dari pandangan dan merebak ke bungkah yang lain.

Masalah ni adalah penunjuk bahawa bangsal kami semakin tercemar. Kami perlu buat sesuatu agar masalah ni tak berlanjutan. Langkah segera yang kami telah ambil ialah menghadkan jumlah orang yang masuk ke bangsal serta pemakaian mask sewaktu berada di dalamnya. Selain dari tu, kami juga telah buang bungkah-bungkah lama untuk kurangkan sumber penyakit. Sayang juga sebab masih keluarkan hasil, tapi terpaksa juga buat kerana memikirkan bungkah-bungkah yang lain yang masih elok tu...

Itu sahaja coretan kali ni, jumpa lagi.

lanchini

Sunday, January 20, 2008

KURSUS CENDAWAN KE-2


Syukur Alhamdulillah, kursus intensif penanaman cendawan ke-2 anjuran Chini Agro telah selamat dijalankan tanpa menghadapi sebarang masalah besar. Seramai 13 peserta yang kebanyakannya dari negeri Pahang telah menghadiri kursus kali ini. Terima kasih dan tahniah diucapkan kepada mereka yang telah memilih kami untuk mendapatkan ilmu mengenai projek cendawan.

Ketika kursus pertama dulu, semua program dijalankan di rumah saya. Tapi untuk kali ni, saya telah menyewa balai raya Felda Chini Timur 3 khas untuk hari pertama kursus sahaja. Dewan ni mempunyai banyak kelengkapan sesuai untuk sessi ceramah teori. Selain tu, suasananya pun selesa sebab dilengkapi dengan sistem penghawa dingin. Terdapat juga satu ruang yang memang sesuai untuk praktikal membuat bungkah cendawan.



Kali ni saya lebih bersedia. Saya ambil cuti sehari sebelum tarikh kursus semata-mata untuk menyediakan bahan-bahan khasnya untuk pameran kepada para peserta. Melalui kursus pertama dulu, banyak perkara yang saya belajar. Antaranya ialah untuk sediakan lebih banyak gambar berkaitan projek cendawan. Untuk itu, saya buat sudut khas untuk galeri gambar. Saya buat tema dan isikan gambar-gambar berkaitan di situ. Ternyata strategi ni berhasil menambah kefahaman peserta. Gambar ni adalah sebahagian dari koleksi gambar yang saya kumpul dari awal pembabitan dan perusahaan ni lagi. Saya turut pamerkan beberapa produk hasil cendawan seperti keropok dan minuman ringan. Tujuannya adalah untuk mendedahkan kepada peserta bahawa masih banyak ruang yang boleh diterokai dalam bisnes ini.



Hari ke-2 kursus dijalankan di rumah dan di bangsal. Tema hari ke-2 adalah lebih kepada penjagaan bangsal dan penerangan mengenai penuaian hasil. Mula-mula saya bawa peserta ke bangsal. Saya terangkan teknik memetik, mencuci mulut bungkah, merancang pengeluaran, membersihkan hasil dan membungkus hasil cendawan. Saya agak terkilan sebab cendawan kami tak banyak yang keluar pada hari ke-2 kursus. Sebenarnya saya bercadang untuk memberi peluang setiap peserta mengutip sendiri hasil untuk dibawa pulang nanti. Itulah realiti perusahaan ni, tak semua yang dirancang akan menjadi....



Pulang ke rumah, saya ajar pula teknik 'menyelamatkan' bungkah yang diserang penyakit. Ini kemudian disusuli dengan aktiviti yang paling ditunggu-tunggu iaitu makan tengahari berlaukkan sayur cendawan goreng. Mm, saya lihat ada peserta yang 'meratah' cendawan tu walau nasi dah habis!


Aktiviti seterusnya ialah ulangkaji cara menyuntik benih, begging dan diakhiri dengan acara penyampaian sijil. Kursus kali ni tamat sekitar jam 3. Para peserta juga dibekalkan dengan 10 bungkah agar mereka dapat terus aplikasikan apa yang telah dipelajari. 3 dari bungkah tersebut adalah hasil kerja mereka sendiri. Pukul 4 petang, saya pulak berlepas balik ke Seremban..


Walaupun agak letih, saya merasa puas kerana dapat berkongsi ilmu dengan ramai orang. Saya harap semua peserta yang hadir dapat memanfaatkan ilmu yang dipelajari untuk membina projek sendiri pula. Dan kami Chini Agro pasti akan menolong sedaya upaya kami. Kepada yang ingin berkursus di Chini Agro, dapatkan info mengenainya di kolum kanan blog ini. Kursus terdekat adalah pada 27 Januari nanti.

Kat bawah ni ialah sebahagian gambar yang sempat kami ambil untuk tontonan bersama.





Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada sahabat-sahabat seperti Azahari (e-cendawan), Nizam ( cendawan global ), Malik (mutiara musroom), Wan (projek cendawan), Bob (jutawantani) dan ramai lagi yang sudi mengiklan kursus dan juga menyokong usaha kami. Terima kasih, doumo arigatogozaimashita!


Lanchini

Thursday, January 10, 2008

CHINI AGRO GENAP SETAHUN!

Dalam sedar tak sedar, dah setahun rupanya kami memulakan projek cendawan. Pelbagai pengalaman suka dan duka kami telah tempuhi. Pelbagai cabaran datang dan pergi. Alhamdulillah, Chini Agro masih lagi bertahan hingga ke hari ini.

Bermula dengan bangsal tepi rumah, kini kami dah ada 2 bangsal. Bangsal pertama tu saya bercadang untuk jadikannya stor dan juga tempat bagging sebab kedudukannya lebih dekat dengan tempat simpanan habuk. Sekarang ni tempat bagging gunakan bahagian beranda dapur rumah. Tu tempat favourite mak dan ayah saya lepak-lepak waktu tengahari. Kalau boleh, biarla diorang boleh teruskan berehat kat situ tanpa diganggu dengan proses begging...

Inilah keadaan dalam bangsal pertama kami. Ianya dalam proses di jadikan stor. Rak-rak dalamnya dah ditanggal, cuma tinggal sikit aje kat bahagian tepi tu. Bukan apa, bila ada orang datang nak nengok, boleh la kami tunjukkan bungkah yang sikit tu. Nak pergi ke ladang agak jauh, tapi kami tetap bawakan ke sana jika ada yang ingin tahu lebih lanjut.

Sebagai ganti kepada rak pertama ni, kami bercadang untuk bina satu lagi bangsal di ladang. Memandangkan bajet kami tak besar, saiznya pun tak besar jugak, dalam 20X30 kaki sahaja. Saiz ni kecil sikit dari bangsal ke-2. Kedudukannya pula pada bahagian depan tapak bangsal sekarang. Di situ tanahnya dah dirata, so jimat sikit kos sebab tak perlu upah orang untuk ratakannya.. Designnya pun saya akan ubah sikit supaya mesra 'bajet', hehe.. Inilah tapak bangsal ke-3 tu nanti..


Minggu lepas kami ada menerima lawatan seorang pegawai felda wilayah. Beliau melawat tapak projek kami ditemani oleh pegawai felda dari pejabat Chini Timur 3. Menurut ayah, pegawai felda tu hairan bagaimana beliau tidak mengetahui tentang projek kami walau sudah setahun beroperasi? Mm, bukan untuk menyalahkan sesiapa, tapi ini jelas menunjukkan projek kami tidak mendapat perhatian daripada pegawai setempat. Seingat saya, memang tiada seorang pun pegawai felda setempat yang melawat bangsal kami semenjak kami beroperasi di bangsal baru. Atau mungkin kami sendiri yang kurang membuat hebahan tentang projek kami? Entahla..

Pegawai tu turut menyarankan kami untuk mendapatkan bantuan pinjaman felda supaya projek dapat dikembangkan lagi. Sebenarnya saya pernah memohon bantuan yang dipanggil Skim Insentif Usahawan Felda kira-kira 10 bulan lalu, namun hingga kini tiada berita walau pun telah follow-up beberapa kali. Akhirnya saya terpaksa membuat pinjaman peribadi dengan Bank Rakyat. Namun saya tetap berterima kasih kepada pegawai felda dari pejabat Wilayah Pekan tersebut atas nasihat dan saranan beliau. InsyaAllah, saya akan mencuba untuk memohon pinjaman tersebut sekali lagi.

Itu sahaja perkembangan kami yang terbaru. Banyak lagi yang ingin saya tulis, tapi cukuplah setakat ini sahaja buat kali ni.


Lanchini


Sunday, January 6, 2008

Jalan-jalan cari ilmu

Salam buat pembaca,

Saya berkesempatan untuk mengunjungi ladang cendawan Mentah Resources yang terletak di Kundur, Negeri Sembilan pada Ahad lepas. Turut bersama-sama dalam lawatan ilmu kali ini ialah en Yacob, iaitu peserta kursus praktikal kami yang lalu. Terima kasih tak terhingga buat En Rasul yang sanggup menunggu kami di stor beliau dan kemudiannya membawa kami ke ladangnya.

En Yacob kini dalam proses untuk memulakan projek beliau di Kemaman. Jadi adalah penting untuk beliau meninjau sumber-sumber bahan mentah di samping menambahkan pengetahuan beliau dengan melihat bagaimana pengusaha lain menjalankan projek mereka. Untuk saya sendiri pun, bertemu dan berbincang dengan pengusaha yang telah 'established' dapat memberi pelbagai input berguna kepada syarikat kami.

Alhamdulillah, setakat ni saya dapati kebanyakan pengusaha lama tidak kedekut ilmu. Mereka bersedia untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman mereka dengan hati terbuka. En Yacob sendiri turut mengakuinya.

Berikut adalah beberapa idea menarik yang saya dapat sepanjang lawatan ke ladang Kundur;
  1. Semasa bancuh, kapur dilarutkan di dalam air terlebih dahulu agar mudah bercampur.
  2. Sistem suntik benihnya amat praktikal untuk mengurangkan beban mengangkat sambil mengekalkan kebersihan bilik suntik.
  3. Penggunaan rak buluh yang meluas.
  4. Proses begging menggunakan mesin
Ni sebahagian gambar yang saya sempat ambil di sana..



Dalam perjalanan pulang, kami sempat singgah ke RASE Mushroom, sebuah lagi pengeluar cendawan utama di Negeri Sembilan. Dah agak lama saya tidak ke sana. Mereka kini menggunakan rumah kukus yang lebih besar yang boleh memuatkan hingga 2000 bungkah! Bosar tu. Selain tu, atas kerjasama jabatan pertanian, mereka juga kini mempunya mesin pembancuh yang besar seperti gambar di bawah.

Sessi perbincangan berjalan hingga satu jam setengah. Banyak soalan yang en Yacob utarakan. Beliau agak bimbang memandangkan bekalan habuk kayu getah agak sukar di sana. Ada yang mencadangkan penggunaan habuk kayu lain sebagai, namun hingga kini belum ada pihak yang pernah mencubanya. Mungkin kami terpaksa merujuk kepada pakar kita, Puan Normah Ibrahim.. Jika anda telah mencuba habuk kayu selain getah, boleh juga berkongsi pengalaman anda dengan kami..

Sekian

Lanchini

Wednesday, January 2, 2008

Produk terbaru - Mini starter



Hasil kerjasama antara Chini Agro dan En Yusof dari Rembau, maka lahirlah produk terbaru kami yang diberi nama Mini Starter. Pakej ni mengandungi 8 bungkah cendawan, panduan projek cendawan versi nota, manual penjagaan bungkah dan juga 8 penutup rehat. Produk ni amat sesuai untuk mereka yang ingin merasai sendiri pengalaman menjaga bungkah cendawan sebelum memulakan projek yang sebenar. Harga yang ditawarkan juga amat berbaloi dengan ilmu yang bakal diperolehi. Harga RM60 (utk semenanjung M'sia shj) adalah sangat murah memandangkan ia termasuk kos pos laju yang berharga sekitar RM36... Jadi kos sebenar pakej tersebut adalah RM24 sahaja! Nak dapatkannya mudah sahaja, cuma hubungi no ni, 019-3951516.. Gambar ada saya muatkan di sebelah.

En Yusof merupakan sifu saya. Saya banyak terhutang budi kepada kepada beliau kerana tanpa beliau dan isteri, mungkin saya masih tidak mengenali cendawan. Pada peringkat permulaan dulu pun, beliau sanggup datang dari Rembau semata-mata untuk meninjau bangsal kami. Nasihat yang diberikan juga membolehkan kami mengatasi banyak masalah. Beliau kini memiliki 2 bangsal bersaiz sederhana dan menjadi salah seorang pengeluar utama daerah Rembau.

Saya pasti kami akan terus bekerjasama lagi selepas ni demi merancakkan lagi industri cendawan yang makin hari makin berkembang.

Sedikit info kursus

KURSUS PADA 19 & 20 JANUARI 08 TELAH HABIS DITEMPAH. TERIMA KASIH 12 PESERTA YANG SUDI MENGHADIRI KURSUS INI. TERIMA KASIH JUGA BUAT RAKAN-RAKAN YANG BANYAK MEMBANTU MEMPROMOSIKAN KURSUS INI

ATAS PERMINTAAN, KAMI AKAN ANJURKAN LAGI KURSUS PADA TARIKH BERIKUT;

1) 27 JAN - PAKEJ A SAHAJA (terhad untuk 10 peserta, 2 tempat telah pun ditempah)

2) 16 & 17 FEB - PAKEJ A & B ( terhad untuk 12 peserta sahaja)

PENDAFTARAN DIBUKA SEKARANG.

Sekian,


Lanchini