Salam pengenalan
Tujuan blog ini ditulis adalah sekadar untuk berkongsi sedikit kisah saya dalam mengusahakan cendawan tiram. Saya bukan lah pakar dalam bab-bab cendawan ini, dan hanya mula berjinak dalam bidang bermula daripada Februari 07 yang lalu. Sekarang pun masih lagi dalam peringkat bertatih dan banyak perlu belajar lagi..
Sebelum ini saya tidak pernah mengenali cendawan tiram. Bukan saya sahaja, seluruh keluarga saya juga tidak 'biasa' menjadikan cendawan tiram sebagai menu dalam masakan kami. Kisahnya bermula tahun lepas, salah seorang rakan sepejabat mula menjual cendawan tiram yang dipek berharga RM2. Jualannya mendapat sambutan hangat daripada rakan sekerja. Saya pun mencuba 1 pek, isteri buatkan sup cendawan dan rasanya, memang sedap!
Pun begitu, saya belum terfikir untuk mengusahakannya, sehinggalah ayah bertanya, macammana nak tanam cendawan ni? Ayah memang seorang yang suka bercucuk tanam. Sebelum ini ayah mengusahakan kebun sayur sehinggalah dia jatuh sakit pada awal tahun 2000. Ayah tidak lagi boleh melakukan kerja berat. Namun minatnya pada pertanian tetap membara..
Ayah betul-betul ingin tahu cara menanamnya dan mendesak untuk melihat tempat bangsal kawan saya. Alhamdulillah, hajat ayah tercapai pada awal Januari yang lepas. Saya membawanya ke bangsal kawan yang terletak di Rembau. Sempat juga saya mengambil beberapa keping gambar kenangan...
Ayah tertarik dengan cara penanaman cendawan yang amat mementingkan kebersihan dan memerlukan ketelitian. Setelah berbincang, akhirnya kami sepakat untuk mencuba sendiri di rumah.. Bermulalah pengalaman mengusahakan cendawan...
1 comment:
Semoga berjaya di dalam bidang penanaman cendawan ini. :) Usaha kita pasti memberi kepuasan apabila tuaian cendawan mula dikutip. :):):)
Post a Comment