Banner Ebook 468X60

Wednesday, December 23, 2009

Cendawan dan Kerja Kerajaan

Salam buat pembaca,


Selepas saya menulis post lepas, ada kawan-kawan bertanya adakah saya bertukar kerja di Kuantan? Jawapan saya tidak, saya tidak akan bekerja di mana-mana sekurang-kurangnya untuk tempoh 2,3 bulan. InsyaAllah saya akan fokuskan kepada projek cendawan Chini Agro dalam tempoh ini. Selepas tempoh tu, mungkin saya akan mencari kerja lain juga, tapi itu bergantung kepada keadaan semasa waktu tu.

Selepas 8 tahun makan gaji, selepas ni kena berdikari pulak. Tentu suasana dan cabarannya jauh berbeza. Kalu dulu pukul 8 masuk kerja dan pukul 6 baru balik kerja. Proses ni berulang-ulang 5 hari seminggu. Kalau dah 8 tahun, berapa ribu kali agaknya saya pergi balik kerja kan?

Kerja sendiri pulak kita boleh pergi dan balik kerja sesuka hati kita. Nak pergi kemana-mana pun senang, tak perlu ambil cuti tahunan atau tunggu bila ada cuti panjang. TETAPI, income bergantung kepada usaha sendiri. Kalau rajin dan kuat berusaha, InsyaAllah rezeki pun bertambah. Benda ni cakap senang, tetapi nak realisasikan tu sesuatu yang sangat-sangat mencabar. Hanya orang yang memang kerja sendiri sahaja yang faham keadaan sebenarnya..

Balik ke kisah cendawan, haritu saya berpeluang untuk membuat delivery cendawan ke Pasar Tani Kuantan. Pelanggan saya ni seorang penjual cendawan goreng termasuk cendawan segar sekali. Saya kenalinya sebagai Kak Ma aje. Waktu saya hantar tu, sudah ramai pelanggan menantikan cendawan goreng Kak Ma yang memang dah top kat sini. Oleh kerana tak menang tangan, saya yang tercegat ( tunggu payment sebenarnya, hehe ) pun disuruh Kak Ma untuk menolong mencucuk cendawan goreng dengan lidi tu.





Menurut Kak Ma, dia dah 4 tahun berniaga cendawan goreng. Sebelum ni, Kak Ma turut menjual sup cendawan. Ramuan utama sup tu ialah cendawan telinga kera dan cendawan butang. Tapi sekarang tak buat lagi kerana susah nak dapat bekalan 2 jenis cendawan tu. Dia rasa seronok berniaga cendawan goreng sebab sering dapat sambutan walau di mana dia berniaga. Ada kalanya Kak Ma mampu menjual hingga 40 kg cendawan goreng sepagi aje. Kini 2 orang anak lelaki dia mula berjinak-jinak dengan bisnes cendawan goreng ni.

Harapan saya moga bisnes Kak Ma dan peniaga cendawan goreng lain akan semakin maju hendaknya. Rezeki mereka adalah rezeki kita sebagai pengusaha cendawan juga.

Kerja Kerajaan

Khas buat mereka yang ingin sangat bekerja di sektor awam, kawan saya iaitu saudara Jamal telah melancarkan pakej ebook yang bertajuk 'Rahsia Lulus Kerja Kerajaan' ;


Sejak gomen naik gaji 2 tahun lepas, ramai orang berpusu-pusu untuk memohon jadi penjawat awam ni. Salah satu sebab ramai orang memilih sektor awam kerana ianya ada jaminan, jadi mereka rasa lebih 'selamat' berbanding dengan kerja swasta. Saya dah lebih 8 tahun kerja swasta ni, memang kadang2 rasa berdebar-debar time ekonomi tak bagus terutama bila management cakap ada kerugian..

Berita baik untuk mereka yang beli ebook ni melalui link affiliate saya ( iaitu link dalam blog ni ), saya akan berikan mereka ebook 'Panduan Cendawan Tiram' saya secara percuma sahaja, free of charge.. Promosi hujung tahun : ) . Caranya ialah dengan emailkan saya (zamlan77@gmail.com )butiran pembayaran sebagai bukti transaksi.


Itu sahaja kali untuk kali ni, jumpa lagi.

Sekian,

Lanchini

Saturday, December 5, 2009

Titik perubahan Lanchini

Salam buat pembaca,


Sejak dua menjak ni saya agak jarang update blog ini. Sampai ada rakan yang bertanya mengapa tak update seminggu sekali seperti dulu? Takda perkembangan terbaru ke?

Bukan takde perkembangan terbaru, tapi terlalu banyak 'perkembangan terbaru' yang saya sedang lalui sekarang. Sejak awal November lalu, saya telah ambil keputusan untuk berhenti kerja sekarang. Ini kerana permohonan isteri untuk bertukar sekolah ke Negeri Pahang telah diluluskan. Jadi isteri akan mengajar di sekolah baru bermula daripada Januari depan.

Serentak dengan itu, saya tekad untuk berhenti kerja yang dah saya lakukan sejak 8 tahun yang lalu ni. Mmm, memang susah dan berat hati ni untuk berhenti kerja ni, tapi nak buat camana, bagi saya keluarga mesti didahulukan. Anak-anak masih kecil, jadi biarla saya berkorban kerja sekarang asalkan dapat bersama dengan keluarga setiap masa.

Bila dah hantar surat resign ni, saya terpaksa siapkan juga semua tugasan yang masih belum selesai. Kalau dulu boleh jugak curi-curi masa menaip blog ni, tapi sekarang memang susah sikit. Semakin dekat dateline, semakin banyak kerja bertambah. Saya juga terpaksa sediakan masa untuk memberi tunjuk ajar kepada bakal pengganti nanti.

Buat masa ni saya belum merancang untuk mencari kerja baru di Kuantan. Saya fikir lebih elok saya tumpukan masa dengan projek cendawan Chini Agro tu. Maknanya selepas ni saya akan petani sepenuh masa, hehe.. Selama ni projek ni diuruskan secara 'separuh masa' je dan banyak bebankan ayah saya. Mungkin dah tiba masa untuk saya uruskan projek ni sepenuhnya. Tapi size projek sekarang tak cukup besar untuk tampung pendapatan saya sekali. Sebab itu, dengan sedikit modal yang ada, kami sedang bangunkan 2 lagi bangsal di tapak baru. Hari ni ayah beritahu bangsal no.3 dah siap dan sedia untuk digunakan. InsyaAllah 2 bangsal baru ni bakal memberi tambahan 20 kg cendawan sehari.

Masalah seterusnya nanti ialah untuk mencari pasaran baru. Pasaran kami sekarang hanya tertumpu sekitar Chini aje. Untuk 10 kg sehari tu bolehla cover, tapi jika pengeluaran lebih daripada 20kg, nak tak nak kami terpaksa keluar ke bandar Kuantan atau Pekan pula. Dan sejak sebulan lepas, cendawan Chini Agro dah mula masuk ke pasaran Kuantan. Saya nak ucapkan terima kasih kat en Haris, pengusaha cendawan di Kuantan yang telah sudi berkongsi market dengan kami. Masa saya yang agak terhad ni membataskan aktiviti pemasaran saya. Nasib baik en Haris sudi membantu.

Selain dari persediaan menjadi petani sepenuh masa, saya juga kini mempelajari Pemasaran Internet. Mungkin ramai dah tahu kisah kejayaan Dr. Irfan Khairi kan? Dia ialah seorang tokoh usahawan internet yang berjaya pada usia yang sangat muda. Umur 25 tahun dah jadi jutawan internet, huhu.. Selain dari Dr. Irfan Khairi, ramai lagi usahawan internet yang dah berjaya tapi kurang dikenali.

Pemasaran internet ni banyak cabangnya. Tapi saya kini fokus kepada salah satu cabang iaitu dikenali sebagai pemasaran affiliate. Saya tak nak bercerita panjang mengenai subjek ni kerana ia agak teknikal ( saya pun banyak masih blurr ) dan tak sesuai untuk diceritakan melalui blog cendawan ni. Untuk mereka yang nak tahu, jemput-jemputla datang ke blog baru saya iaitu di http://www.lanchini.com

Itu sahaja perkongsian kali ni, jumpa lagi.

Lanchini.

Friday, November 13, 2009

Bangsal Baru

Salam buat semua,

Dalam post sebelum ni, saya pernah menulis mengenai pembinaan bangsal baru di tapak projek kami yang baru. Dan selepas habis musim perayaan aritu, kerja-kerja penyediaan tapak telah pun bermula. Dan kini, bangsal pula sedang didirikan.

Pada awalnya saya merancang untuk bina 2 bangsal berukuran 20X40 kaki setiap satu. Tapi oleh kerana faktor ruang yang tidak mencukupi, salah satu bangsal terpaksa dikecilkan jadi 20X30 kaki aje. Inilah gambar yang saya sempat ambil waktu pulang ke kampung minggu lepas..




Bangsal yang kecil tu buat sementara waktu akan menjadi tempat untuk peram sahaja. Bungkah yang baru disuntik akan dibiarkan di bangsal kecil hinggalah 50 ke 60 hari sebelum dipindahkan ke bangsal besar bersebelahan tu nanti. Dan dibangsal besar tu nanti InsyaAllah akan jadi tempat menuai hasilnya..

Progress pembinaan bangsal ni agak slow dari perancangan. Bila modal pun kecil, macam2 masalah akan timbul. Itulah nasib orang yang kurang modal macam kami ni.. Tapi InsyaAllah, menjelang tahun 2010 nanti, bangsal ni akan dipenuhi dengan bungkah. Masih ada 1 bulan lebih lagi, harap-harap sempatla.. Musim hujan sekarang pun satu faktor mengapa pembinaan bangsal ni jadi lambat. Jika hujan, lori hantar barang pun tak boleh masuk dek kerana lumpur.. Jalan masuk pun agak sempit sekarang dan perlu dibesarkan lagi.

Apa yang saya suka mengenai tapak baru ini ialah ianya terletak dekat dengan rumah berbanding dengan tapak lama. Kami boleh menyalurkan air terus dari rumah aje. Nak ke bangsal pun boleh jalan kaki aje, tak sampai 10 minit. Cuma satu aje yang kureng, tapak tu terpaksa dikongsi dengan orang lain, so faham-fahamla adat berjiran ni. Kena saling hormat menghormati dan tak boleh buat sesuka hati, hehe.. Harap-harap semuanya akan berjalan lancar nanti.


Itu aje informasi untuk kali ni, jumpa lagi.

Lanchini.

Tuesday, October 27, 2009

Lawatan ke Fatisha Agro Farm, FAF

Salam,

Waktu cuti pertabalan Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan yang lepas, saya dan ayah telah pergi melawat projek cendawan FAF yang terletak di Cukai, Kemaman. Ni tapak baru projek yang diuruskan oleh Cik Rusila yang sebelum ni beroperasi di Kajang. Dah lama berhajat nak melawat FAF, kali ni barula dapat ke sana..

Nama FAF memang tak asing lagi di kalangan pengusaha cendawan. Cik Rusila ni antara orang terawal yang membina blog khas mengenai projek cendawan. Saya pun mendapat inspirasi dari blog FAF untuk membina blog ini.

Projek FAF di Cukai sudah bermula sejak 7 bulan lepas. Kini, 100% operasi di lakukan di sini. Mereka kini sudah mempunyai beberapa orang pekerja tetap dan jugak part time. Bilangan bangsal pun kini dah ada 4 buah dan bakal mendirikan 2 buah bangsal lagi. Kesemua bangsal menggunakan atap rumbia. Terasa nyaman betul dalam bangsal beratap rumbia ni. Selain tu, ada jugak bangsal yang guna kayu-kayu hutan sebagai tiang. Menurut Rusila, ini langkah untuk kurangkan kos pembinaan bangsal.




Seronok dapat nengok perkembangan pesat FAF, siap ada restoran sendiri lagi. Tapi waktu saya dan ayah datang, restoran ni belum open lagi setelah berehat panjang waktu Ramadhan aritu. Tak menang tangan utk Rusila uruskan semuanya. Nampaknya FAF kena tambah bilangan pekerja utk licinkan urusan mereka.



Dari segi pasaran, FAF hanya menumpukan perhatian kepada pasaran setempat dan jugak Kuantan. Menurut Rusila, permintaan untuk cendawan di sebelah sana sangat tinggi, mereka sendiri pun belum dapat penuhi semua pasaran di sana. Selain cendawan segar, Rusila turut aktif dalam ekspo2 setempat dengan menjual produk cendawan goreng. Ni antara produk cendawan segar FAF ;




Itu aje, sekian.

Lanchini

Monday, October 12, 2009

Eksperimen Tikus

Salam buat pembaca,

Baru-baru ni saya ada buat sedikit eksperimen untuk mencari umpan paling sesuai untuk masalah tikus yang sering melanda bangsal kami. Tikus ni selalu menyerang bangsal no.2 yang kami gunakan untuk tempatkan bungkah-bungkah baru disuntik. Perangkap jenis jaring besi dan getah melekat dah tak menunjukkan kesan.

Saya ubah taktik dengan gunakan perangkap jenis besi spring ( tak tau nama sebenar ).

Saya gunakan penutup rehat yang diterbalikkan untuk menjadi bekas umpan. 5 jenis umpan telah digunakan dalam eksperimen ni iaitu benih cendawan, jagung rebus, ikan kering, snek kit-kat dan juga isi kelapa yang dibakar.


Dalam tempoh beberapa minggu ni, sebanyak 4 ekor setengah tikus telah berjaya diperangkap. Setengah tu sebenarnya bahagian ekor aje yang tertinggal pada perangkap. Badannya telah lari entah kemana.. Apa nasib tikus tu sekarang wallahuallam. Tapi saya pasti ia tak akan datang lagi buat kacau di bangsal kami.. Gambar atas ialah 'hasil' pada syawal ke 3 aritu.

Kesemua tikus telah memilih perangkap yang gunakan benih cendawan. Saya jangkakan snek kit kat akan jadi pilihan. Nampaknya jangkaan saya silap. Tikus lebih suka benih cendawan yang tidak dihancurkan sangat. Biarkan ia dalam ketulan besar. Mungkin cara ni lebih meninggalkan bau berbanding jika dihancurkan.

Jika anda mempunyai masalah yang sama, cubala umpan ni.

Itu aje, sekian.

Lanchini

Tuesday, September 29, 2009

Hari Raya dan Jalan Raya

Salam Syawal buat semua,

Hari raya Aidilfitri tahun ni memang meriah buat kami sekeluarga. Masakan tidak, semua anak-anak dan cucu2 ayah dapat berhimpun beramai-ramai meraikan ailfitri kali ni. Kalau di campur anak, menantu dan cucu-cucu, hampir 40 orang ahli keluarga berhimpun pada hari raya pertama tu..

Cuma satu je yang tak syok. Sehari sebelum raya, lembu ayah yang sepatutnya di sembelih telah dicuri orang. Penat2 je ayah menangkap dan mengikat lembu tu, tup-tup di sebat orang. Pencuri tu cuma tinggalkan tali dan bekas tayar lori diorang je... Lembu tu bukan rezeki ayah kali ni. Ni kali-2 lembu ayah di curi orang. Kali pertama lagi malang sebab 4 ekor lembu yang hilang.

Raya ke-2 saya bertolak ke kampung isteri di Ajil, Terengganu. Saya gunakan jalan raya Jabor-Jerangau. Bilangan kereta di jalan raya memang banyak sekali sebab ramai orang yang travel untuk berhari-raya. Kalau di banding dengan tahun lepas, saya tak nampak pun polis yang berkawal atau menjalankan operasi di sepanjang jalan. Dan memang 'dasar' orang kita, bila takde polis, papan tanda had laju 80km/j cuma tinggal papan tanda. Lebih ramai pemandu yang tidak patuhi had laju tu berbanding mereka yang patuh. Pada pendapat peribadi saya, kegagalan ops sikap ke XX ni berpunca daripada kurangnya kawalan oleh pihak polis berbanding ops sikap ke-17 yang dijalankan pada Aidilfitri tahun lepas. Tahun lepas kita boleh nampak banyak pos-pos kawalan di dirikan di sepanjang jalan-raya. Walaupun Polis di situ baca suratkhabar je, tapi ia cukup menginsafkan pemandu hatta untuk 10 atau 20 minit. Hal ni tak berlaku pada tahun ni. Realitinya pemandu di Malaysia masih perlukan kehadiran anggota polis untuk buatkan mereka menjadi berdisiplin ketika memandu.

Dalam tempoh 5 hari cuti raya ni, saya menyaksikan 5,6 eksiden di mana 2 daripadanya agak serius dan mungkin melibatkan kehilangan nyawa. Lagi sedih jika yang jadi mangsa tu tidak bersalah apa-apa cuma jadi mangsa keadaan akibat kelalaian pihak lain. Dah la berlaku di waktu kemeriahan raya. Camanala family mereka tu ketika mendapat berita kemalangan ye..

Coretan kali ni saya tulis selepas membaca akhbar mengenai Ops Sikap ke-20 yang mencatatkan kematian hingga 261 orang.. Sekadar pandangan 20 sen saya.

Itu je, jumpa lagi.

Lanchini




Wednesday, September 16, 2009

Selamat Hari Raya


SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI DI UCAPKAN KEPADA SEMUA PEMBACA BLOG INI DAN JUGA RAKAN-RAKAN SEPERJUANGAN DALAM INDUSTRI CENDAWAN. SAYA INGIN MEMINTA MAAF ZAHIR DAN BATIN SEKIRANYA TERDAPAT SEBARANG KESILAPAN YANG SAYA LAKUKAN ATAU TERDAPAT TULISAN DALAM BLOG INI YANG MENGGURIS HATI SESIAPA JUA.


SELAMAT HARI RAYA, MAAF ZAHIR DAN BATIN


IKHLAS DARI

ZAMLAN, CHINI AGRO

Wednesday, September 2, 2009

Teknik baru hadapi masalah serangga

Salam buat pembaca,

Kali ni saya ingin berkongsi pengalaman baru kami untuk hadapi masalah serangga dengan menggunakan plastik bergetah. Sebelum ni saya memang ada mendengar mengenai perkara ni tapi takla detail sangat. Tapi waktu ikuti kursus penyakit cendawan bersama Pn Normah haritu, beliau telah memberi penerangan lebih detail mengenai kaedah gunakan plastik bergetah dan berwarna terang untuk memerangkap serangga kecil yang selalu menjadi punca masalah penyakit cendawan. Saya cuba mencari perangkap jenis ni di kedai hardware berdekatan dan juga pasaraya Giant, tapi tak jumpa.

Akhirnya saya dapat juga beli satu set plastik dan gam ni daripada en Nabil, tuan punya NAS Agro farm sewaktu melawat projek mereka baru-baru ni. Beliau telah lama mempraktikkan cara ini dan ternyata cara ni berkesan untuk kurangkan bilangan serangga di dalam bangsal. Nasib saya baik kerana waktu saya datang tu memang tinggal satu set sahaja dalam simpanan en Nabil.

Balik ke Chini saya terus memasang plastik kuning bergetah ni ke di setiap lorong rak cendawan. Selepas 2 minggu, saya pulang ke Chini semula. Inilah keadaan plastik bergetah tu, hampir penuh dengan serangga yang melekat kat situ ;


Selama ni saya cuma guna racun organik dan serai wangi untuk kurangkan masalah serangga. Tapi cara ni leceh sikit kerana terpaksa dilakukan sepanjang masa. Ia akan pergi buat sementara tapi akan datang kembali sekiranya bau serai wangi ini semakin berkurangan. Serangga ni juga akan semakin biasa dengan bauan ni dan tak alah lagi. Dengan plastik bergetah ni, gam getahnya di katakan mampu bertahan antara 6 bulan hingga setahun, jadi tak perlu tukar selalu. Tapi apa yang lebih penting, serangga yang melekat di situ akan mati dan pastinya tak akan datang lagi ke bungkah atau rumpun cendawan kami.


Sekian,



Thursday, August 20, 2009

Salam Ramadhan


Saya bagi pihak Chini Agro ingin mengucapkan selamat berpuasa kepada semua umat Islam di mana jua anda berada. Semoga bulan Ramadhan tahun ini akan menjadi bulan penuh keberkatan buat kita semua..

Monday, August 10, 2009

Melawat NAS Agro

Salam buat pembaca,

Nama NAS Agro cukup popular di kalangan pengusaha cendawan. Saya sering mendengar dan membaca mengenai projek cendawan milik en Nabil ni. Waktu kursus penyakit cendawan aritu pun, Pn Normah turut menyebut mengenai NAS Agro beberapa kali terutamanya mengenai kaedah plastik kuning bergetah ( disaluti gam ) yang di katakan amat efektif untuk mengurangkan masalah serangga bari-bari. Pn Normah menyatakan jenis plastik dan gam yang digunakan oleh NAS Agro lebih baik daripada yang terdapat di pasaraya.

Ahad lepas saya berkesempatan ke sana. Jarak dari Seremban tak la jauh sangat rupanya, dalam 40 minit sahaja. Terima kasih kepada en Nabil kerana sanggup menunggu saya walaupun beliau sebenarnya baru pulang dari Sarawak.

Selepas 'site tour' selama kira-kira setengah jam, ternyata NAS Agro memiliki pelbagai kelebihan tersendiri yang wajar saya pelajari. En Nabil amat mementingkan aspek kebersihan dan kekemasan yang tinggi. Dah banyak projek cendawan yang saya kunjungi, ternyata NAS Agro yang paling 'cantik' dari segi luaran dan sistem kerja yang di amalkan. Semua ni dapat dilihat daripada keadaan kebersihan luaran dan dalam bangsalnya yang dijaga kemas dan rapi.





Hasil cendawan NAS Agro sehari adalah sekitar 130kg. Jika dibandingkan dengan jumlah bungkah yang dibuat iaitu sekitar 1600 bungkah setiap hari, kadar hasil ini boleh di katakan agak tinggi. Saya pernah melawat projek yang mampu membuat 2000 bungkah sehari tapi hasil hariannya cuma 60 kg sahaja. Ini adalah satu bukti keberkesanan teknik yang diguna pakai oleh NAS Agro. Menurut en Nabil, beliau amat mementingkan disiplin dalam menjaga tempoh tutup dan buka bungkahnya. Dengan cara ini, dia dapat mengekalkan hasil optimum setiap hari. Dan yang lebih menarik, en Nabil tak perlu pun memasarkan hasil cendawannya kerana peraih yang datang ke ladang setiap hari untuk membeli kesemua hasil. Selain cendawan, en Nabil turut mengusahakan penternakan cacing dan kambing. Dengan hanya guna pakai bungkah yang lama atau rosak, NAS Agro mampu raih pendapatan lumayan melalui jualan baja komposnya.



En Nabil turut sudi menunjukkan saya makmal benihnya. Dia kini dalam proses mengeluarkan benih untuk cendawan Perut Lembu. Thanks juga kerana menghadiahkan saya 2 beg benih cendawan perut lembu untuk di cuba.



Kami turut berkongsi pandangan mengenai usaha pihak tertentu yang seolah-olah ingin 'membunuh' perusahaan kecil cendawan melalui persaingan harga melampau. Cara promosinya pun agak 'kurang ajar' tanpa mempeduli perasaan orang lain langsung. Namun menurut en Nabil, tiada apa yang perlu di bimbangkan kerana menurut sumber2 yang boleh dipercayai, promosi yang dilakukan oleh pihak tersebut sekadar indah khabar dari rupa. Kami juga berkongsi pandangan supaya mereka perlu mencontohi CNC atau VITA yang tidak menganggu usahawan2 kecil melalui persaingan harga secara direct. Inilah bezanya orang yang ada etika dan tiada etika..

Sekian,

Lanchini

Tuesday, August 4, 2009

Kursus dan Tapak baru.

Kursus Cendawan Chini Agro.

Setelah tertangguh 2 minggu, akhirnya dapat juga saya mengadakan kursus cendawan seperti di janjikan kepada peserta. Saya minta maaf bebanyak kepada mereka kerana ada yang terpaksa batalkan cuti kerja dan memohon cuti baru atas penangguhan ini. Daripada 6 peserta mendaftar, 4 orang telah hadir kursus kali ini.

Seperti kursus sebelum ni, sessi teori dan praktikal di adakan di pondok rehat bangsal cendawan kami. Saya rasa cara ni lebih praktikal kerana setiap apa yang di ajar dapat terus ditunjukkan terus di bangsal cendawan. Para peserta nampak lebih mudah untuk faham dan mereka lebih yakin. Seboleh-bolehnya saya ingin mereka memahami apakah rasional setiap tindakan atau teknik yang diperkatakan agar mereka faham sedalam-dalamnya. Dari feedback mereka yang bersungguh-sungguh bertanyakan itu ini, saya pasti mereka berpontensi untuk jadi usahawan cendawan berjaya.







Selepas ni tiada lagi kursus cendawan akan di adakan dalam waktu terdekat. Sempena Ramadhan yang bakal menjelma, saya ingin berehat dan tumpukan kepada projek sedia ada sahaja. Kursus akan hanya di adakan semula selepas Hari Raya nanti. Harap maklum.

Tapak Baru

Kami kini dalam proses mengembangkan projek ke fasa-3. InsyaAllah, jika semua urusan berjalan lancar, 2 bangsal baru akan dibina di sebuah tapak kosong milik felda berhampiran dengan perumahan kami.



Buat masa ni, kerja pembersihan tapak baru aje bermula seperti ditunjukkan gambar di atas. Tapak ini di kongsi dengan seorang lagi pengusaha yang ingin menjalankan projek kolam ikannya.

Target saya ialah untuk membina perusahaan cendawan yang mampu keluarkan pengeluaran cendawan segar 50kg sehari secara tetap dan berterusan. Untuk itu saya perlu tambahkan lagi bilangan bangsal serta upgrade peralatan sokongan seperti steamer, bakul dan banyak lagi. Selain usaha, modal pun penting jugak. Jadi saya telah buat permohonan bantuan modal melalui AgroBank cawangan Pekan. 2 bulan telah berlalu, masih belum dapat lagi kata putusnya.. Bila saya telefon minggu lepas, pegawainya menerangkan mereka kini sibuk dengan permohonan pinjaman peribadi oleh kakitangan kerajaan. Aduhai, lomah den mendengarnya...


Sekian,

Lanchini

Sunday, July 26, 2009

Kisah terkini.

Sebulan dua ni merupakan tempoh yang agak sibuk buat saya. Sejak dua menjak ni fokus saya ialah kepada keluarga. Kursus yang di jadualkan 19 hb Julai pun terpaksa dibatalkan kerana kesihatan baby yang kurang baik. Kini isteri pun dah semakin sihat, masalah kuning baby pun dah hampir settle. Barulah rasa lega untuk memikirkan hal-hal lain terutamanya mengenai cendawan.

Update projek Chini Agro

Dalam tempoh ni ayah yang uruskan projek cendawan seratus-peratus. Sejak bulan 6 hasil kami semakin berkurangan. Ini kerana bangsal no.1 tu dalam proses 'servis'-pembersihan semula. Bungkah baru tidak di bawa masuk kerana kami ingin cuci bangsal ni terlebih dahulu. Bangsal ni dah mula menunjukkan tanda-tanda pencemaran yang tinggi. Daripada menanggung risiko kerosakan, elokla kami servisnya terlebih dahulu. Semua rak dikosongkan dan disembur dengan klorok 2,3 kali. Awal bulan 7 haritu bungkah baru mula di bawa masuk sikit demi sedikit. Kini 60% ruangan bangsal mula dipenuhi dengan bungkah.

Ke Ekspo Agro Biotech

Sempena dengan hari Pertanian dan Penternakan, pihak Jabatan Pertanian Negeri Sembilan telah menganjurkan satu ekspo yang di beri nama Ekspo Agro Biotech bertempat di Paroi, Negeri Sembilan.

Saya sempat jalan-jalan ke tapak ekspo ni Ahad lepas. Bukan untuk membeli belah, sekadar untuk mendapatkan info terkini mengenai teknologi pertanian dan penternakan.Inilah ekspo pertaniah terbesar yang pernah saya lawati. Terdapat ratusan gerai yang mempamerkan dan menjual pelbagai barangan berasaskan pertanian dan pertenakan. Selain syarikat swasta, agensi kerajaan turut membuat pameran hasil kajian serta penemuan terbaru mereka. Kalau tak silap, ada 3,4 tempat yang membuat pameran berkaitan cendawan.

Salah satu sudut yang menarik ramai pengunjung ialah bahagian ternakan hidup. Selama ni saya tak tahu pun ada kambing yang nak sama besar dgn lembu dan lembu yang lebih besar dari kerbau! Hebat betul teknologi genetik sekarang, macam-macam saiz haiwan boleh diprogramkan. Ada juga haiwan yang dipamerkan di bawa khas dari luar negara.

Saya juga sempat singgah ke gerai Mentah Resources yang menjual pelbagai barangan plastik untuk pertanian. En Rasul dan gengnya memang ligat dalam mempromosikan hasil produk mereka. Mereka kini memberi tumpuan dalam mempromosikan alatan fertigasi yang dikeluarkan oleh kilang mereka sendiri.

Secara keseluruhannya ekspo yang akan berakhir pada 28 Julai ni memang sangat baik untuk dikunjungi. Pihak penganjur nampak bersungguh-sungguh memastikan projek ini berjaya. Aktiviti pertandingan, pameran, gerai2 dan macam-macam lagi mampu menarik ramai pengunjung dan seterusnya mempromosikan lagi aktiviti pertanian dan penternakan.

Itu aje, sekian.





Monday, July 13, 2009

Anak ke-3 !


Minggu lepas merupakan minggu yang sangat istimewa buat kami sekeluarga. Dengan izinNya, isteri telah selamat melahirkan seorang bayi perempuan seberat 2.5 kg di Hospital Tengku Ampuan Najihah, Kuala Pilah pada 7 Julai yang lepas.

Semoga kelahiran anak ke-3 ini akan membawa keberkatan dan kebahagiaan buat kami sekeluarga. Dah sebulan lebih saya tak balik ke kampung menjenguk projek cendawan di sana. Bimbang jugak nak bawa orang rumah travel jauh-jauh sewaktu due date yang semakin hampir. Nak tinggalkan sorang2, lagila tak sanggup.

Bila semuanya dah selamat, barula lega rasa hati ni. Tapi seminggu dua ni tak dapat kemana-mana jugak sebab terpaksa berulang-alik ke hospital kerana baby ni ada sedikit demam kuning. Harap-harap masalah ni dapat diubati dengan segera. Kasihan nengok baby yang masih kecil di ambil darahnya setiap hari untuk analisa makmal...


Itu aje, sekian.


Lanchini.

Friday, July 3, 2009

Program Lawatan ke Industri Cendawan di Utara

Semalam saya menerima sepucuk surat daripada Persatuan Cendawan Malaysia mengenai program lawatan ke industri cendawan di Utara Malaysia ( lebih tepat, Kedah ). Saya pun baru aje join PCM sewaktu menghadiri Minggu Cendawan pada bulan lepas.

Ini adalah ringkasan program tersebut ;

Tarikh lawatan : 31 Julai ( bertolak ) -> 2 Ogos 09
Tempat yang akan dilawat : Ladang shiitake di Gunung Jerai, Projek Cendawan King Oyster, Golden Needle dan Ling Zhi di Jitra, Ladang LingZhi di Alor Star dan melawat kilang penghasilan produk ling Zhi milik DXN marketing.


Program ni terbuka kepada ahli PCM sahaja dan terhad kepada 40 permohonan terawal sahaja.


Bagi saya program ilmu seperti ini sangat berguna buat usahawan cendawan walaupun mungkin apa yang kita tanam tu tak sama. Tapi kita boleh belajar teknik2 yang mereka gunakan. Ke semua syarikat ni bukan calang-calang syarikat. Mereka semua sudah mempunyai asas serta nama yang dah kukuh kalau nak di bandingkan dengan syarikat saya, hehe... Kalau kita sendiri nak pergi buat lawatan ke situ, mungkin diorang tak layan pun permohonan kita. Nasib baik ada PCM ni, dapat jugak merasa ke sana, InsyaAllah..


Itu aje sedikit info yang boleh dikongsi bersama.


Sekian,


Lanchini


Monday, June 22, 2009

Kursus Penyakit Cendawan

Salam buat pembaca,


Seperti yang saya maklumkan dalam post terdahulu, satu kursus khas mengenai masalah penyakit cendawan telah di adakan di Taman Pertanian Malaysia, Shah Alam pada Ahad 21 hb yang lepas. Dan dengan izinNya, saya turut berkesempatan join sekali kursus kali ni.. Ini kali ke-2 saya datang ke Taman Pertanian ni dan buat 2 kali berturut-turut, saya tersesat lagi, hehe..

Penceramah jemputan kursus ini ialah Pn Normah Ibrahim, seorang pakar cendawan dari Jabatan Pertanian Putra Jaya. Beliau memang seorang yang di kenali ramai pengusaha cendawan kerana ilmunya yang tinggi serta pengalaman yang cukup lama dalam bidang ni.

Bilangan peserta pula lebih kurang 20 orang. Ada yang telah lama mengusahakan projek, ada yang newbie dan ada juga yang baru merancang untuk memulakan projek cendawan. Dalam ramai-ramai tu, saya berkenalan dengan Haji Jusoh yang rupa-rupanya orang Pekan jugak. Tuan haji ni dah setahun lebih mengusahakan projek cendawan tapi dalam skala yang kecil aje. Projek perintis beliau bertempat di Peramu, Pekan. Beliau merancang untuk menambah kapasiti tak lama lagi..

Dalam sesi pertama kursus ( saya ter`miss` sebenarnya ), setiap peserta diminta untuk menceritakan serba sedikit latar belakang projek. Pn Normah turut meminta mereka menceritakan apakah masalah utama yang di hadapi. Secara amnya, penyakit kulat hijau dan masalah serangga termasuk hama menjadi tema yang paling glamer...

Dalam sesi ke-dua barulah Pn Normah memberi ceramah khas mengenai penyakit cendawan. Ia di mulakan dengan penekanan terhadap Good Hygiene Practice - Amalan Kebersihan Baik dalam pengurusan projek cendawan. Setiap pengusaha harus mempunyai susun atur projek serta jadual kerja yang boleh meminimumkan masalah penyakit. Kemudian Pn normah menerangkan secara lebih detail setiap jenis penyakit yang biasa menyerang pengusaha cendawan. Dari kursus ni barulah saya tahu kulat hijau juga dikenali sebagai ` Mushroom Killer ` kerana berpotensi memusnahkan sesebuah projek cendawan jika tidak di kawal. Topik yang menarik saya lagi ialah mengenai serangan serangga yang dikenali SpringTail dan juga hamama. Springtail ni berkaki 3 pasang manakala hamama dengan 4 pasang kaki. Corak serangan dimana adalah hampir sama di mana maisilium akan hilang sikit demi sedikit bermula dari atas.

Cuma satu yang agak mengejutkan saya. Puan Normah tidak bersetuju dengan pendapat yang mengatakan hamama berasal dari masalah benih. Ini kerana pada pendapat beliau, telur2 hama dan juga ibunya akan musnah walaupun pada suhu 100 darjah. Hamama ni datang bersama dengan binatang atau bawaan manusia sendiri katanya.. Apa pendapat kawan2 mengenai perkara ini? Jika anda menggunakan set tutup 4 dan masih terkena hama, mungkin ada yang tak setuju kan... Saya tak sempat timbulkan perkara ni memandangkan saya sendiri terpaksa pulang lebih awal.


Itulah sedikit kisah yang boleh dikongsikan bersama.


Sekian.


Lanchini.


Thursday, June 11, 2009

Kursus Penyakit Cendawan

Salam hormat,

Masalah penyakit dalam perusahaan cendawan merupakan salah satu cabaran utama yang pasti ditempuhi oleh setiap pengusaha. Bezanya mungkin dari segi peratusannya sahaja. Bagi mereka yang dah lama dalam perusahaan ni, bermacam2 jenis penyakit telah ditempuhi. Kulat hijau, kulat oren, hama, benih mati, ulat dalam bungkah dan macam2 jenis lagi.

Setiap penyakit pula berpunca dari pelbagai sumber. Ada dari bawaan udara, ada yang disebabkan benih, habuk kayu dan kadang2 cara kerja yang tidak betul. Mengenal pasti punca dengan sebeberapa segera merupakan satu langkah yang penting. Jika lambat kenal pasti punca, alamatnya langkah pencegahan pun lambat di ambil. Natijahnya, berlambakla bungkah2 yang dibuang... Dan yang paling pedih, jika puncanya bukan dari kesilapan kita, tetapi dari kesilapan dan kelemahan orang lain. Contohnya benih yang rosak dan habuk kayu yang bercampur dengan bahan kimia..

Terdapat banyak sumber informasi untuk masalah penyakit ni. Ianya sering di bincang di dalam blog2 dan dalam forum2 berkaitan pertanian. Ebook Panduan Cendawan keluaran Chini Agro turut membincangkan masalah penyakit dengan panjang lebar dan hampir kesemuanya berdasarkan kisah kami sendiri serta dari perbincangan dengan rakan usahawan yang lain.

Jika anda ingin mendapatkan info lebih lanjut dan lebih detail daripada pakar cendawan sendiri, boleh daftarkan diri dalam Kursus Penyakit Cendawan yang di anjurkan oleh Cendawan Blues seperti berikut ;


Tarikh : 21 Jun 09

Masa : 8.30 pg (pendaftaran)

Tempat : Perkampungan Budaya, Taman Pertanian Malaysia, Shah Alam

Penceramah jemputan : Pn Normah Ibrahim

Isi kandungan kursus ni merangkumi pelbagai topik mengenai penyakit. Ia turut menyentuh pelbagai topik lain seperti teknik menambahkan hasil dan meningkatkan jangka hayat bungkah cendawan hingga lebih 8 kali tuaian hasil. Saya pun berminat untuk join kursus kali ni walaupun mungkin setengah hari sahaja. Tak berani pergi lama-lama memandangkan isteri yang dah hampir dengan tempoh bersalin.

Kepada yang berminat untuk join kursus ni, boleh kontek en Akmal Cendawan Blues melalui 0176372810. Info lanjut juga boleh di dapati melalui blog Cendawan Blues.




Sekian,



Lanchini


p/s : Ikut kajian sendiri, lebih kurang 80% usahawan cendawan yang berputus asa dari meneruskan projek adalah disebabkan kegagalan mengawal penyakit.

Wednesday, June 3, 2009

Minggu Cendawan di Taman Pertanian Malaysia

Salam buat semua,

Pada Ahad, 31 hb lepas saya dan keluarga telah pergi ke Taman Pertanian Malaysia di Shah Alam bersempena dengan Minggu Industri Cendawan yang di adakan di situ. Saya memang suka ke majlis sebegini untuk mendapatkan ilmu berguna mengenai cendawan. Waktu yang sama boleh juga membawa anak-anak bersiar-siar ke tempat2 menarik yang belum pernah di lawati.

Perjalanan ke Taman Pertanian ni cukup mencabar buat saya. Saya cuba berpandukan google map untuk mencari lokasi Taman Pertanian ni. Saya memang lemah sikit drive kawasan bandar terutamanya kawasan padat penduduk macam Shah Alam. Ini first time drive sendiri ke sini. Papan tanda pun satu masalah jugak kerana sekejap tulis Taman Botani, sekejap Taman Pertanian dan kadang2 Taman Bukit Cahaya. Kami terpaksa berhenti 2,3 kali bertanyakan arah. Dan 2,3 kali juga terpaksa u-turn kerana terlajak. Yang paling tak syok ialah berlaku kemalangan kecil di salah satu bulatan ( bulatan Kayangan kalu tak silap ) mengakibatkan kereta kesayangan saya mengalami calar sedikit - Calar di hati lebih dalam sebenarnya. Tapi Alhamdulillah, yang penting keluarga semuanya selamat.


Akhirnya sampai juga ke Taman Pertanian Malaysia tu. Selepas makan tengah hari, saya dan keluarga menaiki bas taman untuk ke tapak lokasi Minggu Cendawan tu. Di situ, saya bertemu dengan seorang rakan yang sama2 belajar di Jepun dahulu. Dia pun kini sedang usahakan cendawan selain produk vermikompos yang turut dijalankannya. Tak sangka, cendawan menemukan kami semula.

Di dewan pameran, saya dapat berjumpa dengan En Akmal ( cendawan blues ), En Tan ( cuka kayu ) dan Pn Tan ( Lifelite ) yang mempunyai gerai masing2 disitu. Inilah kali pertama bertemu dengan mereka walau pernah berhubung melalui phone atau internet. Banyak informasi yang saya perolehi terutama dari Pn Tan yang sedang mempromosikan produk Lifelite. Produk ni asalnya dari Jepun dan banyak gambar yang di bawa oleh Pn Tan menunjukkan bagaimana kesannya mampu menambahkan hasil cendawan.




Salah satu matlamat saya mengunjungi Minggu Cendawan ni ialah untuk dapatkan idea mengenai produk hiliran daripada cendawan tiram. Antara yang menarik perhatian saya ialah SOS cili perisa cendawan dan juga jeli cendawan. Bagi saya idea jeli cendawan sangat menarik kerana keunikannya. Inilah kali pertama menikmatinya. Rasanya pun sedap dan setanding dengan jeli kelapa yang memang dah dikenali ramai tu. Untuk sesiapa yang nak tahu bagaimana membuatnya, kenalah berhubung dengan En Akmal sendiri. Oh ye, saya turut membeli air cendawan tiram. Memang sodap!





Itu aje sedikit kisah mengenai Minggu Cendawan, jumpa lagi




Dapatkan Ebook Panduan Cendawan sekarang juga!

Friday, May 29, 2009

Laporan Ringkas Kursus Chini Agro

Salam buat pembaca,

Setelah 3 bulan berehat, akhirnya kami kembali menganjurkan kursus intensif penanaman cendawan pada 23 hb Mei yang lalu. Sepanjang 3 bulan yang lalu, kami hanya anjurkan kursus khas untuk penjagaan bungkah sahaja.

Seramai 4 peserta telah hadir menjayakan kursus kali. Yang menarik mengenai kursus kali ni ialah ianya di hadiri oleh seorang makcik yang umurnya telah melebihi 60 tahun tapi masih bersemangat untuk menimba ilmu. Saya amat mengagumi kegigihan dan semangat makcik Zaunah kerana sanggup datang ke kursus yang melibatkan aktiviti praktikal kali ni. Kekaguman saya bertambah kerana makcik Zaunah membuat bungkah paling banyak berbanding peserta lain!







Kursus kali ni terpaksa dilakukan di kawasan rehat bangsal kami memandangkan rumah ayah yang masih belum siap2 lagi tu.. Kami mohon maaf buat peserta kerana persekitaran yang mungkin kurang selesa sepanjang kursus berlansung. Moga kursus kali ni memberi manfaat buat semua peserta. Kami sentiasa doakan kejayaan anda.

Sekian laporan ringkas kursus kali ni,

lanchini

Dapatkan ebook Panduan Cendawan Tiram sekarang juga!

Wednesday, May 20, 2009

Lawat Bangsal peserta kursus Chini Agro.

Salam buat pembaca,

Waktu pulang ke kampung baru-baru ni, saya berkesempatan untuk melawat bangsal salah seorang bekas peserta kursus cendawan Chini Agro. Nama peserta ni Rizal dan dia sekampung dengan saya. Kalau tak silap, Rizal ialah peserta kursus pada hujung bulan 12 yang lalu.

Selepas memperolehi hasil daripada bungkah percubaan yang diperolehi waktu kursus tu, Rizal joint venture dengan membernya untuk membina sebuah bangsal berhampiran dengan bekas padang bola Felda Chini Timur 3. Proses membuat bungkah dibuat di rumahnya. Selepas suntik benih, dia akan angkut bungkah2 ni ke bangsal beliau. Konsep yang sama dengan kitorang, hehe.. Rizal terpaksa buat macam ni kerana tempat bangsal beliau tu agak jauh dari rumah dan ada masalah security.. Kat felda saya ni, masalah kecurian sering berlaku terutama dekat2 dengan musim perayaan. Motor cabuk ayah pun pernah di curi orang, 2 kali pulak tu..

Berbalik dengan bangsal rizal, ini antara gambar2 yang sempat saya rakamkan. Bangsal pertama ni saiznya lebih kurang 20 X 20 kaki dan boleh muatkan sekitar 5 - 6 ribu bungkah. Binaanya sempoi je, tapi saya tertarik dengan beberapa idea kreatif rizal. Contohnya ialah penggunaan kekotak pada siling utk rendahkan suhu serta guna paip pvc sebagai asas tiang rak.





Bungkah2 yang Rizal buat pun nampak cantik dengan kadar kerosakan yang minimum. Bungkah pertama dijangkakan akan keluar hasil pada awal jun nanti. Cuma nasihat saya agar rizal tak menyusun bungkah terlalu tinggi kerana ianya mudah jatuh sewaktu mengeluarkan hasil nanti. Bagi saya, susunan paling ngam ialah 5 tingkat sahaja.




Nampaknya rizal dah ready untuk perkembangkan bisnesnya. Tapak untuk bangsal ke-2 pun dah ready di sebelah bangsal pertama tu.



Rizal ni seorang anak muda yang rajin dan bersemangat. Dia sering datang ke rumah serta lawat bangsal kami untuk berbincang pelbagai perkara berkaitan cendawan. Harapan saya ialah moga projek Rizal bertambah maju dan kami bole bekerjasama untuk mengeluarkan cendawan segar bagi pasaran setempat dan sekitar Chini. Terdapat permintaan untuk cendawan segar bagi pasaran Kuantan yang kami sendiri tak dapat penuhi sekarang dan harapnya Rizal dapat membantu kami nanti....

Sekian.




> Dapatkan Panduan Projek Cendawan sekarang juga! <