Banner Ebook 468X60

Monday, August 13, 2007

teruskan usaha 2

Selepas 2 minggu, saya dapat khabar gembira, pinjaman telah diluluskan! Alhamdulillah... Ini bukan sekadar suntikan modal, tapi satu suntikan semangat kepada saya dan ayah.. Nilai pinjaman ini saya kira cukup untuk membina sebuah bangsal yang boleh di isi dengan 10,000 beg media. Saya agak berhati-hati buat pinjaman kerana komitmen yang sedia ada pun sudah agak membebankan...

Saya merancang untuk menggunakan kayu serta atap aluminium yang dibeli daripada kedai lusuh. Cara ni saya fikir lagi sesuai untuk mereka yang berbudget rendah macam saya ni. Masalahnya, saya tidak dapat mencari kedai lusuh sekitar Pekan yang menjual atap aluminium. Kebanyakan menjual atap zink yang tidak sesuai untuk digunakan pada bangsal cendawan. Akhirnya saya ambil keputusan untuk dapatkan bahan binaan dari sebuah kedai lusuh yang terletak di Labu, Negeri Sembilan walau terpaksa extrakan budget untuk pengangkutan. Kedai ni memang glamer kepada pengusaha cendawan sekitar Seremban ...

Mesin pertama yang saya beli adalah pembancuh simen mini. Saya kesiankan ayah yang sering mengadu sakit pinggang selepas membancuh habuk kayu. Saya sendiri pun akui betapa seksanya nak bancuh 100 kg habuk.Lagipun dengan mesin ni, proses membancuh dapat dibuat dengan cepat.

Ini lah mesin kesayangan ayah,

Ianya mampu membancuh sehingga 30 kg habuk kayu sekaligus. Saya bercadang untuk gunakan mesin ini untuk mencuci penutup polibeg yang memang leceh untuk dicuci. 2 kegunaan dalam 1 mesin!

Friday, August 3, 2007

Tingkatkan usaha

Setelah lebih sebulan mengeluarkan hasil, saya dapat rasakan projek ni patut diperbesarkan lagi. Bukan apa, sambutan daripada orang kampung terhadap cendawan kami amat menggalakkan.. Cuma kami yang tidak dapat memenuhi permintaan pelanggan. Hasil yang dikeluarkan masih sikit, dalam 2-3 kg sehari. Itu pun tanpa promosi gila2 lagi...
Kawasan rumah kampung agak terhad. Saya terpaksa mencari tapak untuk bangsal seterusnya di kawasan berhampiran supaya tidak membebankan ayah untuk berulang-alik. Saya dapat satu kawasan tapak rumah peneroka yang telah ditinggalkan. Saya cuba memohon dengan pejabat Felda, malangnya permohonan telah ditolak. Menurut pegawai berkenaan, ada penduduk berhampiran yang membantah pembinaan bangsal disitu. Alasannya, itu tapak perumahan, bukan untuk pertanian. Saya sebenarnya meragui alasan itu kerana sebelum ni terdapat penduduk yang menjalankan projek ternak ikan dlm kolah di tapak rumah, namun tiada pula bantahan yang kedengaran..
Alhamdulillah, akhirnya jumpa jugak satu lot tanah yang terletak dibawah laluan kabel TNB. Kedudukannya agak jauh dari rumah dan terletak di satu kawasan berbukit. Walaubagaimanapun, kelilingnya dipenuhi oleh oleh pohon kelapa sawit.. Pegawai felda juga telah memberi kebenaran untuk mengusahakan kawasan tersebut.
Masalah seterusnya, MODAL! Berdasarkan pengalaman bina bangsal ditepi rumah, saya yakin modal untuk membina bangsal baru nanti pasti melebihi 10K. Target saya adalah untuk membina sebuah bangsal yang boleh memuatkan 10 ribu hingga 15 ribu beg media. Anggaran luas bangsal adalah 50X20 kaki. Mmm, macammana nak dapatkan modal ni...
Akhirnya saya ambil keputusan untuk memohon pinjaman peribadi daripada Bank Rakyat. Adakah permohonan saya akan diluluskan? Entahla...

Monday, July 23, 2007

Kursus Tanaman Cendawan, 19 April 07


Sebagai pembuka bicara, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada En. Yahzid dan rakan2 daripada Rantau Agrotech Supply Enterprise ( RASE ) kerana sudi menerima lawatan saya pada hari Khamis, 19 July lepas. Banyak ilmu yang saya dapat di sepanjang lawatan. Saya dapati RASE memang bagus untuk dicontohi terutama kepada mereka yang baru berjinak dalam bidang ini. Idea dan teknik yang digunakan amat inovatif. Tahniah untuk mereka!


Balik kepada kisah saya, kursus hari ke-2 adalah khas untuk pembelajaran secara praktikal. Tempat kursus adalah di ladang cendawan kepunyaan saudara Mokhzan yang terletak di Tiroi, Seremban. Jikalau anda perasan, pada sekitar bulan Jun lepas, kisah saudara Mokhzan ini telah disiarkan di akhbar Utusan. Walaupun beliau hanya mampu menggunakan sebelah tangan sahaja, projek cendawan beliau amat berjaya. Saya memang kagum dengan semangat serta usaha beliau..

Kursus kali ini diajar oleh Pn Normah dari Jabatan Pertanian Putra Jaya. Saya rasa ramai yang sudah mengenali Pn Normah kerana beliau memang glamer dalam bidang ni. Kerapkali namanya tersiar dalam akhbar tempatan... Peserta yang hadir jugak agak ramai, lebih kurang 35 orang. Saya dapati kebanyakan daripada mereka telah pun memulakan projek cendawan.

Disini, kami diajar cara-cara membancuh habuk kayu, begging ( manual & auto ), suntik benih serta mengukus. Setiap peserta berpeluang untuk merasai sendiri cara melakukan proses tadi. Sepanjang proses praktikal, ramai yang tidak melepaskan peluang untuk bertanya kepada pn Normah tentang masalah yang mereka hadapi, termasuk lah saya..

Dari kursus ini saya dapat mengesan masalah utama kami. Kandungan air dalam bancuhan terlalu banyak! Menurut Pn Normal, peratusan air terlalu tinggi boleh meningkatkan lagi peluang menjadi penyakit. Bakteria penyakit mudah untuk membiak katanya... Satu lagi kemungkinan punca masalah kami ialah proses menyuntik tidak dilakukan dalam persekitaran cukup bersih. Pn Normah lebih mengesyorkan benih dalam botol kerana benih boleh diisi terus ke dalam beg media...

Saya juga ambil peluang meninjau bangsal cendawan en. Mokhzan. Bangsalnya cukup besar untuk menampung kira-kira 80000 beg! Susunan rak cukup kemas dan bersistematik walaupun hanya dibina daripada buluh. Menurut beliau, purata hasil yang diperolehi adalah sekitar 50 kg hingga 80 kg.

Diakhir kursus kami berpeluang melawat tempat benih dihasilkan. Ianya terletak di PD dan diusahakan oleh En Nawi. Menilai cara kerja serta makmal beliau yang bersih, saya yakin kualiti benih yang dihasilkan bermutu tinggi.

Berikut beberapa gambar untuk dikongsi bersama..















Friday, July 13, 2007

Mengusahakan sendiri beg media

Setelah beberapa minggu bertungkus lumus menyediakan peralatan dan bahan mentah, akhirnya pada pertengahan Mac 07, kami telah berjaya membuat sendiri beg media. Susah juga untuk menentukan kuantiti air serta kepadatan habuk kayu yang perlu diisi ke dalam polibeg. Semuanya dibuat secara agak-agak kerana saya dan ayah tidak pernah ikuti kursus atau mempelajarinya secara praktikal. Semuanya berdasarkan apa yang di ajar abg Yusof dan panduan buku!

Begitu juga dengan suasana memasukkan benih. Saya tahu kerja mengisi benih perlu dilakukan di tempat yang bersih kerana cendawan ini sensitif terhadap pencemaran. Kami ambil keputusan untuk lakukannya di dalam bangsal sahaja. Benih yang dibeli adalah dalam bentuk plastik dan terpaksa gunakan sudu sebagai medium. Sebelum digunakan, sudu tersebut dilayurkan dulu di atas api untuk mematikan kuman.

Setelah hampir sebulan berusaha, dapatlah juga kami memenuhkan hampir semua rak dalam bangsal. Dicampur dengan 1000 beg media yang dibeli, kini ada kira-kira 3500 beg kesemuanya.

Namun masalah jangkitan penyakit masih belum dapat diatasi. Perkara ini amat membimbangkan saya. Jikalau kadar reject berterusan tinggi, bagaimana nak dapatkan untung? Mmmm, saya mesti balik kepada asas membuat cendawan, manalah tau ada yang tak kena dengan cara kami...

Awal April, beg media sudah boleh dibuka.. Saya sangat teruja untuk merasai cendawan sendiri. Setelah beberapa hari menunggu, akhirnya ada beberapa media yang mula mengeluarkan cendawan...

Saya juga dapat khabar gembira kerana Jab Pertanian N.Sembilan akan menganjurkan kursus perusahaan cendawan selama 2 hari. Sebenarnya saya telah mendaftar nama untuk ikuti kursus ini seawal bulan 2 lagi.. Namun disebabkan faktor kerja, saya hanya dpt hadirkan diri untuk hari ke-2 sahaja..

Sunday, July 8, 2007

Mula hadapi cabaran.

Kini kami mempunyai kira-kira 1000 beg media yang perlu dijaga. Sebenarnya saya dah mula berangan-angan tentang hasil yang bakal dituai. Jika setiap beg mengeluarkan 50 g cendawan, 1000 beg bermakna 50 kg! Setiap beg pula boleh mengeluarkan hingga 6 kali tuaian. Banyak jugak keuntungan tu...He he..

Akan tetapi, semua tu memang sekadar angan-angan jika tidak cukup ilmu. 2,3 minggu pertama, pertumbuhan maisilium memang cantik. Tapi, lama-kelamaan masalah mula timbul terutamanya jangkitan penyakit cendawan. Macam-macam jenis penyakit kami hadapi seperti kulat hijau, hitam, coklat dan entah apa-apa lagi.







Buat masa ini, saya tidak tahu cara lain untuk mengurangkan penyakit ini melainkan dengan menyembur bangsal dengan air dettol seperti yang dinasihati oleh kengkawan yang mengusahakan perusahaan ini. Apa yang membimbangkan, hampir 40 peratus beg media telah dijangkiti! Mungkin salah kami yang terlalu sayang untuk membuang beg media yang dijangkiti. Penyakit yang paling banyak ialah kehijauan.

Saya juga cuba menghubungi pihak Jabatan Pertanian Pekan untuk meminta bantuan. Saya berusaha memujuk mereka agar datang dan membuat penilaian terhadap bangsal kami dan waktu yang sama memberi bantuan nasihat. Namun agak mengecewakan kerana tiada respon yang baik dari mereka.Kami bercadang untuk membuat sendiri media cendawan kerana untuk jangka masa panjang ianya lebih menguntungkan. Saya mula mencari alatan seperti tong dram kukus, plastik polibeg, penutup dan leher. Kebanyakan alatan ini saya dapatkan daripada Vita Agro yang terletak di tanjung Sepat. Tong dram pula saya dapat percuma daripada kilang tempat bekerja.

Mengenai bahan mentah utama iaitu habuk kayu getah, Alhamdulillah dengan bantuan bapa saudara, saya berjaya dapatkan 2 lori habuk. Pun begitu, selepas ini saya terpaksa mencari sumber lain kerana tempat itu kini telah ditutup operasinya.

Sebenarnya masalah paling utama adalah kerana saya tidak dapat beri komitmen sepenuhnya atas faktor kerja. Saya yang bekerja di Senawang terpaksa berulang-alik ke Chini hampir setiap 2 minggu. Ayah pula tiada pengangkutan selain pengetahuan yang masih kurang berbanding saya mengenai cendawan. Saya terpaksa mengajar ayah apa yang perlu dilakukan dari masa ke semasa. Saya selalu merujuk kepada abg. Yusof jika hadapai sebarang masalah. Nasib baik dia tidak lokek ilmu dan senang untuk mengajar saya.