Ketika kursus pertama dulu, semua program dijalankan di rumah saya. Tapi untuk kali ni, saya telah menyewa balai raya Felda Chini Timur 3 khas untuk hari pertama kursus sahaja. Dewan ni mempunyai banyak kelengkapan sesuai untuk sessi ceramah teori. Selain tu, suasananya pun selesa sebab dilengkapi dengan sistem penghawa dingin. Terdapat juga satu ruang yang memang sesuai untuk praktikal membuat bungkah cendawan.
Kali ni saya lebih bersedia. Saya ambil cuti sehari sebelum tarikh kursus semata-mata untuk menyediakan bahan-bahan khasnya untuk pameran kepada para peserta. Melalui kursus pertama dulu, banyak perkara yang saya belajar. Antaranya ialah untuk sediakan lebih banyak gambar berkaitan projek cendawan. Untuk itu, saya buat sudut khas untuk galeri gambar. Saya buat tema dan isikan gambar-gambar berkaitan di situ. Ternyata strategi ni berhasil menambah kefahaman peserta. Gambar ni adalah sebahagian dari koleksi gambar yang saya kumpul dari awal pembabitan dan perusahaan ni lagi. Saya turut pamerkan beberapa produk hasil cendawan seperti keropok dan minuman ringan. Tujuannya adalah untuk mendedahkan kepada peserta bahawa masih banyak ruang yang boleh diterokai dalam bisnes ini.
Hari ke-2 kursus dijalankan di rumah dan di bangsal. Tema hari ke-2 adalah lebih kepada penjagaan bangsal dan penerangan mengenai penuaian hasil. Mula-mula saya bawa peserta ke bangsal. Saya terangkan teknik memetik, mencuci mulut bungkah, merancang pengeluaran, membersihkan hasil dan membungkus hasil cendawan. Saya agak terkilan sebab cendawan kami tak banyak yang keluar pada hari ke-2 kursus. Sebenarnya saya bercadang untuk memberi peluang setiap peserta mengutip sendiri hasil untuk dibawa pulang nanti. Itulah realiti perusahaan ni, tak semua yang dirancang akan menjadi....
Pulang ke rumah, saya ajar pula teknik 'menyelamatkan' bungkah yang diserang penyakit. Ini kemudian disusuli dengan aktiviti yang paling ditunggu-tunggu iaitu makan tengahari berlaukkan sayur cendawan goreng. Mm, saya lihat ada peserta yang 'meratah' cendawan tu walau nasi dah habis!
Aktiviti seterusnya ialah ulangkaji cara menyuntik benih, begging dan diakhiri dengan acara penyampaian sijil. Kursus kali ni tamat sekitar jam 3. Para peserta juga dibekalkan dengan 10 bungkah agar mereka dapat terus aplikasikan apa yang telah dipelajari. 3 dari bungkah tersebut adalah hasil kerja mereka sendiri. Pukul 4 petang, saya pulak berlepas balik ke Seremban..
Walaupun agak letih, saya merasa puas kerana dapat berkongsi ilmu dengan ramai orang. Saya harap semua peserta yang hadir dapat memanfaatkan ilmu yang dipelajari untuk membina projek sendiri pula. Dan kami Chini Agro pasti akan menolong sedaya upaya kami. Kepada yang ingin berkursus di Chini Agro, dapatkan info mengenainya di kolum kanan blog ini. Kursus terdekat adalah pada 27 Januari nanti.
Kat bawah ni ialah sebahagian gambar yang sempat kami ambil untuk tontonan bersama.
Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada sahabat-sahabat seperti Azahari (e-cendawan), Nizam ( cendawan global ), Malik (mutiara musroom), Wan (projek cendawan), Bob (jutawantani) dan ramai lagi yang sudi mengiklan kursus dan juga menyokong usaha kami. Terima kasih, doumo arigatogozaimashita!
Lanchini
No comments:
Post a Comment