Monday, February 18, 2008

LAWATAN MUHIBBAH KE PEKAN CENDAWAN


Sabtu 16hb yang lalu, Chini Agro berkesempatan untuk melawat satu lagi projek cendawan di daerah pekan yang dikenali sebagai Pekan Cendawan. Rombongan kami terdiri daripada saya, ayah, mak dan juga adik lelaki saya. Dah lama saya merancang untuk datang ke sini, namun banyak perkara yang menyebabkan saya terpaksa menangguh hasrat tersebut.

Projek Pekan Cendawan mempunyai konsep yang berbeza daripada projek lain yang pernah saya lawati sebelum ini. Ianya adalah satu projek yang mempunyai matlamat utk tingkatkan taraf hidup penduduk luar bandar di daerah Pekan. Para pesertanya dibahagikan kepada fungsi2 tertentu seperti pengusaha, pembekal beg, pemborong, peniaga dan juga pengusaha IKS. Dengan cara ini, setiap peserta dapat memberi tumpuan kepada fungsi masing-masing. Sistem secara gabungan ini juga dapat memberi 'kekuatan' kepada Pekan Cendawan untuk menerajui perusahaan cendawan di Pahang khususnya.

Tujuan kunjungan Chini Agro kesana adalah untuk mencari peluang kerjasama yang boleh dijalinkan dengan Pekan Cendawan. Terima kasih tak terhingga saya ucapkan kepada En Zainuzi Hassan, pengurus projek kerana sudi meluangkan masa sibuk beliau untuk melayan kami. Sewaktu kami sampai pun, beliau sebenarnya sedang sibuk memberi taklimat kepada beberapa orang pelajar UiTM Jengka. Sementara menunggu beliau, saya sempat pusing-pusing di tapak projek mereka.

Tapak projek mereka sebenarnya adalah sebuah dewan futsal yang telah diubah suai. Rak cendawan didirikan disatu bahagian dewan. Rak-rak ni pula dibahagikan kepada beberapa blok dimana setiap peserta akan mempunyai blok masing-masing. Peserta atau pengusaha cendawan ini perlu menjaga bungkah-bungkah cendawan hinggalah ianya mengeluarkan hasil. Pihak Pekan Cendawan dengan kerjasama Jabatan Pertanian Pekan akan memantau kerja-kerja mereka.



Menurut En Zainuzi, setiap peserta akan datang setiap hari dan menguruskan blok masing-masing selama 2 hingga 4 jam setiap hari. Mereka diberikan log book atau check sheet untuk merekodkan perkembangan bungkah masing-masing. Menurut anggaran saya, setiap blok mampu menempatkan kira-kira 3000 bungkah. Namun sewaktu kami datang, hanya sebilangan kecil bungkah cendawan yang ditempatkan di atas rak. Sebahagian besar bungkah telah diasingkan dan diatur di sudut yang lain. Menurut En Zainuzi, bungkah tersebut terpaksa diasingkan kerana ianya tidak mencapai piawaian mereka dan berkemungkinan besar perlu dilupuskan.


Perbincangan kami kemudiannya di sambung di pejabat Pekan Cendawan yang terletak di kg Mengkasar. Sebelum tu, kami sempat minum petang di gerai Murtabak Mengkasar yg terkenal dengan keenakan murtabaknya. Rasanya memang sedap, saya pasti akan datang lagi selepas ni!


En Zainuzi menerangkan dengan lebih detail perjalanan projek Pekan Cendawan. Beliau bercita-cita untuk mengembangkan projek ini keseluruh 137 buah kampung yang berada di dalam parlimen Pekan. Jenis perusahaan yang akan dijalankan juga akan dikembangkan kepada pelbagai aktiviti lain seperti penanaman cili, sayuran dan penternakan. Dengan cara ini, beliau berharap dapat membantu meningkatkan ekonomi penduduk setempat.


Pihak Pekan Cendawan juga menunjukkan minat untuk mendapatkan bungkah dari Chini Agro. Bagi saya, ini adalah satu peluang yang baik untuk kami mengembangkan lagi operasi kami. Pada dasarnya, kami telah bersetuju dengan beberapa syarat yang dikenakan seperti harga, tempoh penghantaran dan beberapa terma lain. Saya sedar, dengan menerima syarat2 ini, kami perlu berusaha untuk meningkatkan kapasiti Chini Agro sambil mengekalkan kualiti yang sedia ada. Ini bukanlah perkara yang mudah, tapi saya memang sukakan cabaran sebegini kerana ia merangsang kami untuk lebih berusaha. Saya berharap, perkara ini dapat diputuskan dalam bentuk yang lebih rasmi tidak lama lagi.


Akhir kata saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada En Zainuzi Hasan atas kepercayaan pihak beliau terhadap kami. Saya yakin, dengan visi serta daya pimpin beliau, projek Pekan Cendawan pasti akan lebih berjaya. Kami turut merasa berbangga kerana menjadi sebahagian daripadanya...


Sekian


Lanchini

No comments: